fbpx

“Mama, Siapa Allah?”

Avatar Admin Anje | February 28, 2022 81 Views 0 Likes 0 Ratings

81 Views 0 Ratings Rate it

Selesai sahaja tugasan di tempat kerja, si ibu segera pergi mendapatkan si keletah kesayangannya di rumah penjaga.

Sebaik sahaja berada di dalam kereta, ibu mula bertanya, “ adik belajar apa hari ni kat sekolah?”

Dengan jujur anak menjawab, “Adik belajar solat. Ustazah pesan suruh solat betul-betul, tak boleh main-main. Ustazah cakap, Allah melihat kita, jadi Allah tahu kita solat betul ke atau main-main. Mama, Allah itu macam mana? Siapa Allah?”

Terkesima si ibu apabila diberi soalan cepumas sedemikian.

 …

Ibu ayah, nak membesarkan anak menjadi anak yang soleh-solehah bukanlah sesuatu yang mudah. Terutamanya di zaman anak-anak kita hari ini. Jika dulu, mungkin ramai ibu bapa yang hanya mengambil jalan mudah untuk mengelak dari menjawab soalan-soalan sedemikan. Tetapi, dengan teknologi yang semakin banyak memainkan peranan dalam kehidupan anak, kita tidak patut membiarkan anak-anak tertanya, terutamanya apabila dia ada persoalan aqidah sedemikian. Bukan apa, risau nanti, dia mendapat ilmu yang salah dan sesat di sumber yang tidak boleh dipercayai.

Maka, kita perlu berusaha untuk mencari jawapan bagi setiap persoalan yang hadir dalam pemikiran anak. Bersyukurlah kerana anak masih mahu bercerita dan bertanya pada kita untuk mendapatkan maklumat.

Jika anak bertanya tentang perihal Allah SWT bukanlah sesuatu yang mudah untuk kita terangkan, terutama sekali anak kecil yang berumur 4 hingga 6 tahun.

Ajarkan kepada anak kecil itu, asas-asas tauhid.

Ajar anak-anak yang:

  • Allah itu Yang Mencipta segala-galanya
  • Allah Yang Mengatur, Menguruskan dan Menyediakan segala rezeki untuk kita terus hidup dan beramal di muka bumi ini.
  • Allah yang Menghidupkan serta Mematikan segala ciptaanNya

Fitrah anak kecil seusia 4 hingga 6 tahun sudah mampu mentauhidkan Allah sebagai Tuhan. Yang perlu kita, sebagai ibu bapa, ialah hubungkan aktiviti harian anak-anak dengan Sang Pencipta.

Bagaimana boleh kita, sebagai ibu bapa, mengajar anak tentang Allah? Cuba lakukan aktiviti-aktiviti berikut sebagai pemulaan :

  1. Aktifkan minda si kecil untuk melihat sekelilingnya.

“Cantikkan awan-awan tu. Adik tahu tak di dalam awan tu ada air, dan air itu akan turun sebagai hujan kemudian akan membantu pokok untuk tumbuh? Tiada manusia yang dapat melakukan semua itu kecuali Allah, kan?”

  1. Ajar anak untuk bersyukur dengan rezeki Allah, terutamanya di meja makan.

“Hari ni kita makan favourite food adik. Best tak? Baikkan Allah, Dia berikan kita rezeki hari-hari supaya kita sentiasa sihat, boleh main, boleh solat.”

  1. Galakkan dia untuk berfikir dan menghargai kebesaran Yang Maha Mencipta.

“Cuba adik lihat kucing yang kat rumah itu, seekor berbulu putih dan seekor lagi berbulu kelabu, walaupun mereka lahir dari ibu yang sama. Macammana boleh jadi macam tu ye? Semua Allah yang cipta, hebat tak Allah?”

  1. Didik anak untuk kagumi pentadbiran Allah.

“Pernah tak matahari tak timbul di waktu pagi? Siapa yang arahkan matahari untuk terbit waktu pagi dan terbenam di waktu malam kalau bukan Allah? Adik nampak tak semua yang tercipta hari ini, Allah yang kawal dan uruskan?”

  1. Sampaikanlah perihal Allah dalam bentuk menarik dan mudah faham.

Berceritalah dengan si anak. Gunakan bahasa yang mudah faham untuk peringkat umur anak. Sebagai contoh, bagaimana kita akan menjawab persoalan “Ibu, di mana Allah?”

Di dalam surah Al-Baqarah 2:186, Allah berfirman:

وَإِذا سَأَلَكَ عِبادي عَنّي فَإِنّي قَريبٌ

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka);

 

Jika kita terus beri dalil ini kepada anak kecil, mungkin sukar untuk mereka hargai jawapan kepada persoalan mereka itu.

Tetapi, jika kita bersembang dan bercerita dengan mereka, “Adik, Allah itu sangat dekat dengan kita tapi tak boleh nampak Allah dengan mata kita. Tapi Allah ada. Sama seperti kita tak boleh nampak angin, tapi adik tahu angin ada? Macam mana adik boleh tahu? Adik boleh rasa angin bertiup, adik boleh nampak pokok bergoyang. Itu semua lambang kekuasaan Allah.”

"Jom tanamkan rasa cinta kepada Allah dalam diri anak-anak!"


  • @2022 ANJE. Video pembelajaran ini adalah hak milik terpelihara. Anda dilarang mengubah segala isi kandungan modul ini. Tindakan undang-undang akan di ambil sekiranya berlaku penyelewangan.